Badar dan Uhud

PEPERANGAN RASUL S.A.W.

A) Peristiwa-peristiwa Sejarah
Nabi s.a.w. hampir-hampir tidak sempat menetap selesa di Madinah apabila siri peperangan antara Baginda dengan Quraisy dan kabilah-kabilah Arab yang menyokong mereka bermula. Ahli-ahli sejarah Islam meletakkan beberapa istilah bagi siri peperangan ini.

Mereka menamakan peperangan antara orang Islam dan orang musyrik yang disertai oleh Nabi s.a.w. sebagai Ghazwah. Sementara pertempuran kecil yang berlaku antara kedua pihak dan tidak disertai oleh Rasul s.a.w. dinamakan sebagai Sariyyah. Bilangan ghazwah sebanyak 26 ghazwah sementara bilangan sariyyah pula sebanyak 38 sariyyah. Namun dalam perbincangan tergesa-gesa ini, kami hanya menyebut ghazwah yang terkenal sahaja, iaitu sebanyak 11 ghazwah:

1. Ghazwah Badar al-Kubra

Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. la bermula apabila Nabi s.a.w. mempelawa para sahabat Baginda untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah. Misi asal sekatan itu bukannya dengan tujuan peperangan. Walau bagaimanapun kafilah yang diketuai oleh Abu Suffian tersebut telah terselamat daripada sekatan orang Islam. Namun Abu Suffian sebelum itu telah mengutuskan utusan kepada Quraisy untuk keluar melindungi kafilahnya. Rentetan permintaan tersebut, Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1000 orang tentera. Antaranya 600 orang tentera berbaju perisai, 100 ekor kuda yang dipakaikan 100 baju perisai. Ini tidak termasuk baju perisai tentera pejalan kaki dan 700 ekor unta. Mereka turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi mengutuk orang Islam. Sementara itu, bilangan orang Islam pula seramai 313 atau 314 orang. Kebanyakan mereka daripada golongan Ansor. Mereka membawa 70 ekor unta dan dua atau tiga ekor kuda sahaja. Mereka bergilir-gilir dalam kumpulan-kumpulan kecil menaiki unta tersebut dari satu masa ke satu masa. Sebelum Nabi s.a.w. memasuki pertempuran, Baginda ingin mengambil pandangan para sahabatnya, khususnya kaum Ansor. Baginda ingin mengambil pandangan mereka untuk terlibat dalam peperangan. Kaum Muhajirin telah mencadangkan kepada Baginda untuk terlibat dalam peperangan itu. Mereka telah berucap dengan baik.

Kemudian Ansor menyedari Baginda mahukan pandangan mereka. Lantaran itu, Saad bin Muaz, ketua Ansor, berkata kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, kami telah beriman dengan kamu, membenarkan risalahmu. Kami menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar dan kami telah berikan janji juga ikrar untuk mendengar arahan dan taat kepadamu. Oleh itu, teruskan wahai Rasulullah, apa yang kamu mahu. Kami tetap akan bersama kamu. Demi Tuhan yang mengutuskan kamu membawa kebenaran, kalau kamu bentangkan kepada kami laut ini, nescaya kami akan meng-harunginya bersama kamu. Tiada seorang pun daripada kami yang tercicir. Kami tidak benci untuk bertemu dengan musuh kami besok. Kami kaum yang sabar ketika perang dan jujur (tidak belot) ketika bertemu musuh. Semoga Allah membuatkan sesuatu berlaku kepada kalangan kami yang menggembirakan kamu. Berangkatlah bersama kami dengan berkat Allah." Sahabat yang lain juga berucap seumpama itu. Rasul s.a.w. merasa gembira dengan jawapan itu, seraya bersabda:
"Berangkatlah kamu dengan berkat Allah. Bergembiralah. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadaku untuk berhadapan dengan salah satu kumpulan; sama ada kafilah dagang ataupun angkatan tentera."

Kemudian Rasul s.a.w. berjalan sehingga sampai ke perigi Badar yang paling hamper lalu Baginda berhenti di situ. Lantas al-Hubab bin al-Munzir bertanya: "Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah Taala kepada kamu; di mana kamu tidak boleh terkedepan mahupun terkebelakang. Atau ia merupakan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah?" Rasul s.a.w. menjawab: "Bahkan ia berdasarkan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah". Maka al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat lain yang lebih strategik dan membolehkan orang Islam menyekat air Badar sampai kepada orang musyrik. Oleh itu, Rasul s.a. w. dan para sahabat Baginda berangkat sehingga mereka sampai ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Mereka kemudiannya berhenti di situ. Seterusnya Saad bin Muaz mencadangkan agar dibina sebuah khemah untuk Rasul s.a.w. di belakang barisan tentera Islam. Sekiranya Allah memuliakan mereka dengan kemenangan, itulah yang mereka sukai. Jika tewas, Baginda boleh menaiki tunggangannya dan kembali menyertai orang Islam di Madinah. Saad berkata kepada Baginda: "Sebahagian orang Islam tidak hadir bersama kita, wahai Nabi Allah. Ini bukanlah bererti cinta kami terhadapmu lebih hebat berbanding mereka. Jika mereka tahu kamu akan berperang, nescaya mereka tidak tercicir untuk turut serta bersamamu." Oleh itu, Nabi s.a.w. mendoakan kebaikan untuk Saad bin Muaz. Baginda memerintahkan agar dibina sebuah khemah untuk Baginda. Apabila kedua-dua kumpulan (orang Islam dan orang musyrik) bersemuka, Rasul s.a.w. meluruskan barisan orang Islam, membakar semangat mereka untuk berperang dan memotivasi mereka untuk mati syahid. Baginda bersabda:

"Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, sesiapa yangmemerangi mereka (tentera orang musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga." Setelah itu Baginda pulang ke khemah bersama Abu Bakar dengan dikawal oleh Saad bin Muaz yang siap menghunuskan pedangnya. Rasul s.a.w. mula berdoa. Antara doa Baginda:
"Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi." Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: "Cukuplah. Sesungguhnya AlIah akan melaksanakan janji-Nya untukmu."

Kemudian peperangan meletus dan berakhir dengan kemenangan orang Islam. Kirakira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dengan kesyirikannya, Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian pemimpin mereka. Mereka yang ditawan pula kira-kira 70 orang. Baginda telah memerintahkan agar semua yang terbunuh dikebumikan. Baginda pulang ke Madinah dan melakukan syura dengan para sahabat Baginda tentang urusan tawanan perang. Umar mencadangkan supaya mereka dibunuh. Abu Bakar pula mencadangkan supaya mereka menebus diri mereka. Rasul s.a.w. menerima cadangan Abu Bakar. Oleh itu, orang musyrik telah menebus tawanan mereka dengan harta. Terdapat beberapa ayat al-Quran al-Karim telah turun berkenaan Ghazwah Badar ini. Allah Taala berfirman dalam surah Ali Imran:

“ Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera dari malaikat yang diturunkan ?," Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan 5,000 malaikat yang bertanda masing-masing. Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa. (All Imran: 123-127)

Al-Quran juga menegur Rasulullah s.a.w. kerana menerima tebusan harta bagi tawanan
perang. Allah Taala berfirman:

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu rnenghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah rnenghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu. (Al-Anfal: 67-68)




2. Ghazwah Uhud

Ghazwah Uhud berlaku pada hari Sabtu, 15 Syawal, tahun ke-3 hijrah. Sebab berlaku ghazwah ini Quraisy ingin menuntut bela terhadap kekalahan dalam Ghazwah Badar. Mereka membuat persiapan sehingga mereka benar-benar bersedia untuk memerangi Rasul s.a.w. di Madinah. Mereka keluar dalam angkatan tentera seramai 3,000 pejuang, tidak termasuk bilangan tentera Ahabisy.4 Dalam angkatan ini terdapat 700 tentera berbaju perisai dan 200 pahlawan berkuda. Bersama mereka juga, 17 orang wanita termasuk Hindun binti 'Utbah, isteri Abu Suffian. Bapanya telah terbunuh dalam Ghazwah Badar. Quraisy bergerak sehingga sampai ke tengah-tengah wadi menghala ke Uhud (sebuah bukit tinggi yang terletak dua batu di utara Madinah) bertentangan dengan Madinah. Mengikut pendapat Rasul s.a.w. dan beberapa orang sahabat, orang Islam tidak perlu keluar menghadapi mereka. Bahkan orang Islam hendaklah bertahan di dalam kota Madinah. Sekiranya orang musyrik menyerang mereka, orang Islam akan menghalang mereka. Namun sebahagian pemuda-pemuda Islam serta sesetengah Muhajirin dan Ansor bersemangat untuk keluar dari Madinah dan meiawan orang musyrik di tempat perhimpunan mereka. Khususnya mereka yang tidak turut serta dalam Ghazwah Badar dan tidak memperolehi kemuliaan berperang dalam ghazwah tersebut. Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. telah beralah kepada pendapat mereka. Baginda masuk ke dalam rumah, memakai baju perisai, seraya meletakkan dinding perisai di belakang tubuhnya dan memegang tombak di tangan. Kemudian Baginda keluar menemui orang Islam dengan menggantung pedangnya di leher. Mereka yang mencadangkan kepada Baginda untuk keluar berperang di luar Madinah telah menyesal, kerana mereka menjadi sebab memaksa Baginda melakukan tindakan yang bertentangan dengan pendapat peribadi Baginda. Mereka berkata kepada Rasul s.a.w.: "Kami tidak seharusnya menyalahi pendapat kamu. Oleh itu, buatlah apa yang kamu mahu, atau kamu duduk di sini sekiranya kamu mahu."

Maka Rasul s.a.w. menjawab kepada mereka dengan sabda Baginda: “Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila dia memakai baju perisainya untuk dia menanggalkannya semula, sehinggalah Allah memberikan hukuman antaranya dan musuhnya.” Kemudian Baginda bersama kira-kira 1,000 orang Islam telah berangkat keluar Madinah termasuk 100 tentera berbaju perisai dan 2 pahlawan berkuda. Ketika orang Islam berhimpun untuk keluar, Rasul s.a.w. melihat satu kumpulan Yahudi mahu turut keluar bersama Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua orang munafik. Rasul s.a.w. bertanya: "Adakah mereka telah Islam?" Mereka berkata: "Tidak wahai Rasulullah." Baginda bersabda: “Suruh mereka pulang. Kita tidak meminta pertolongan orang musyrik untuk memerangi orang musyrik.” Di pertengahan jalan, Abdullah bin Ubai bin Salul bersama 300 orang munafik 4 Kaum yang dihubungkan kepada sebuah bukit di sebelah bawah Makkah yang dipanggil "Habisy". Mereka merupakan sekutu Quraisy. menarik diri daripada turut serta membantu orang Islam berperang. Oleh itu, bilangan orang Islam hanya tinggal 700 orang. Kemudian Rasul s.a.w. meneruskan perjalanan sehingga sampai ke medan Uhud. Baginda menjadikan tenteranya membelakangi bukit Uhud dan menghadap tentera musyrik. Baginda telah membariskan tentera Islam, melantik seorang ketua bagi setiap pasukan. Baginda juga memilih 50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair al-Ansori, untuk melindungi bahagian belakang orang Islam daripada serangan balas tentera musyrik dari arah belakang. Baginda berpesan kepada mereka: "Lindungi belakang kami supaya mereka tidak datang menyerang kita dari arah belakang. Hujani mereka dengan anak-anak panah. Kuda tidak dapat melawan panah. Kita akan terus menang selagimana kamu tetap tidak berganjak daripada tempat kamu. Ya Allah, aku bersaksikan Engkau dalam
menghadapi mereka ".

Dalam riwayat lain, Baginda berpesan kepada mereka: "Jika kamu melihat kami dilanggar garuda (kiasan kepada kebinasaan yang cukup teruk), jangan kamu tinggalkan tempat kamu ini sehingga aku kirim utusan kepada kamu. Sekiranya kamu melihat kami mengalah-kan kaum (musyrik) itu atau kami menewaskan mereka dan mereka terbunuh, jangan kamu tinggalkan tempat kamu sehingga aku hantar utusan kepada kamu." Kemudian, bermulalah peperangan. Allah telah membantu orang Islam menentang musuh-musuh mereka. Orang Islam telah membunuh sebilangan mereka. Pihak musuh kemudiannya melarikan diri. Oleh itu, orang Islam sibuk memungut harta rampasan perang yang mereka dapati di kem orang musyrik. Para pemanah di belakang mereka melihat perkara tersebut. Mereka berkata: "Apa yang kita akan buat sedangkan Allah telah memenangkan Rasul-Nya?" Mereka terfikir untuk meninggalkan posisi masing-masing untuk memperolehi habuan rampasan perang. Lantas, ketua mereka, Abdullah bin Jubair memperingatkan mereka tentang pesanan Rasul s.a.w.. Namun, mereka menjawab bahawa peperangan telah tamat dan tidak perlu lagi untuk kekal di tempat mereka, Hanya Abdullah berserta 10 orang lain enggan meninggalkan posisi masing-masing. Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang hendap dari arah belakang. Angkatan tentera Islam tidak menyedari serang hendap melainkan setelah pedangpedang menyerang mereka di sana sini. Ikatan barisan mereka menjadi kacau bilau. Ketika itu juga, tersebar khabar angin bahawa Rasul s.a.w. telah terbunuh. Sebahagian mereka telah lari pulang ke Madinah. Orang musyrik dapat sampai kepada Rasul s.a.w.. Batu-batu yang mereka lontar mengenai Baginda sehingga Baginda jatuh pengsan, mukanya luka, kedua lututnya bercalar, bibir bawahnya berdarah dan topi di kepalanya pecah. Dua cincin rantai topi itu telah terbenam masuk ke pelipis Baginda. Orang musyrik bertambah ramai menyerang Rasul s.a.w. untuk membunuh Baginda. Baginda s.a.w. tetap bertahan bersamasama sekumpulan orang mukmin, antara mereka ialah: Abu Dujanah yang bertindak menjadi perisai Rasulullah s.a.w.. Dia melindungi Baginda daripada anak-anak panah orang musyrik. Anak-anak panah itu telah menembusi belakang tubuhnya. Antara mereka lagi, Saad bin Abi Waqqas. Beliau telah memanah pada hari tersebut kira-kira 1,000 anak panah. Antaranya lagi, Nasibah Ummu 'Umarah al-Ansoriyyah. Dia meninggalkan tugas memberi minum tentera yang cedera, untuk bertempur menggunakan pedang dan memanah demi mempertahankan Rasulullah. Dia terus bertempur sehinggalah sebatang anak panah hinggap mengenai tengkuknya, menyebabkan luka yang dalam. Bersama-sama Nasibah juga, suami dan dua orang anaknya yang turut serta mempertahankan Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk mereka: “Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.” Lantas Nasibah berkata: "Doakan kepada Allah supaya kami menemanimu di syurga." Lantas Baginda berdoa: "Ya Allah, jadikan mereka teman-temanku di syurga." Nasibah r.ha. berkata selepas itu: "Aku tidak mempedulikan lagi bencana yang menimpaku dalam urusan dunia."

Baginda s.a.w. telah berkata berkenaan Nasibah: "Aku tidak menoleh ke kanan dan he kiri pada hari Ghazwah Uhud, melainkan aku melihatnya berperang di hadapanku". Pada hari tersebut, Nasibah mendapat 12 luka, sama ada akibat tikaman tombak mahupun tetakan pedang. Pada saat-saat genting itu, Ubai bin Khalaf telah cuba untuk sampai kepada Rasul s.a.w. bertujuan membunuh Baginda. Dia bersumpah tidak akan berpatah balik. Maka Nabi s.a.w. mengambil sebatang tombak daripada sahabat yang bersama Baginda, lalu merejamnya ke leher Ubai. Rejaman tersebut menyebab kematiannya. Ubai bin Khalaf juga merupakan satu-satunya orang yang dibunuh oleh Nabi s.a.w. dalam semua ghazwah Baginda. Kemudian Baginda s.a.w. dapat berdiri dan bangun dipangku oleh Tolhah bin Ubaidillah. Baginda memandang ke arah orang musyrik dan ternampak sekumpulan daripada mereka berada di atas bukit. Lantas Baginda menghantar sahabat menghalau mereka turun seraya berkata:

"Tidak sepatutnya mereka berada lebih tinggi daripada kita. Ya Allah, tiada kekuatan bagi kami metainkan dengan Kamu". Pertempuran telah berakhir. Abu Suffian menyatakan kelegaan hatinya dan hati orang musyrik yang lain, setelah berjaya menebus kekalahan mereka dalam Ghazwah Badar dengan kata-katanya: “Hari ini merupakan bayaran bagi hari Badar.” Di antara mereka yang terbunuh dalam peperangan ini ialah Hamzah, bapa saudara Rasul s.a.w.. Hindun, isteri Abu Suffian telah mengkelar-kelar mayatnya, membelah jantungnya dan mengunyahnya. Dia merasa kepahitan jantung itu, lalu memuntahkannya. Rasul s.a.w. merasa amat sedih melihat keadaan Hamzah, lantas berkata: “Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas Quraisy di sesuatu tempat, aku akan kelar 30 orang lelaki daripada mereka.” Namun selepas itu Allah melarang daripada mengelar mayat. Bilangan orang Islam yang terbunuh dalam pertempuran ini ialah kira-kira 70 orang, sementara jumlah orang musyrik yang terbunuh ialah 23 orang. Allah Taala telah menurunkan beberapa ayat berkenaan ghazwah ini bagi merawat kelukaan hati orang-orang mukmin dan menyedarkan mereka tentang punca-punca kekalahan yang menimpa mereka. Allah berfirman dalam surah Ali Imran:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat lukayang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurgapadahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal had dalam perjuangan)? (Maksud Ali Imran: 139-142)

Selang beberapa ayat selepas itu, Allah berfirman lagi:
“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman. (Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah mem-balas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan. (Maksud Ali Imran: 152-153)

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Perjalanan Hijrah Nabi ke Madinah

Fathu Makkah

Perang Badar Kubro